Google

Sunday, April 13, 2008

Memerintah Tapi Masih Tidak Bertanggungjawab?

Pakatan Rakyat (dulu BA, selepas ini apa pula?) masih belum sedar bahawa mereka telah memerintah lima buah negeri secara mutlak. Dengan kata lain setiap tindak-tanduk mereka harus mencerminkan satu parti memerintah bukan parti yang membangkang.

Justeru kita ingin menyarankan kepada wakil-wakil rakyat Pas, DAP dan PKR, jika ada kesalahan rasuah, salah guna kedudukan dan penyelewengan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, mereka hendaklah menyiasat bukannya membuat tuduhan dalam ceramah semacam pembangkang.

Ini kerana menurut Tranungkite.net, YB Saifuddin Nasution (pemimpin yang pernah membuat huru hara menghalang APCET II), mendakwa ada berlaku penyelewengan di Selangor.

Beliau (jika benar apa yang tertera di laman web milik Pemuda Pas Dungun itu) mendakwa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khir Toyo telah membuat pinjaman RM 100 juta untuk Universiti Industri Selangor (Unisel).

Saifuddin antara lain mempersoalkan ke mana perginya RM 85 juta dari pinjaman tersebut. Ini kerana menurut beliau, hanya RM 15 juta disalurkan kepada Unisel.

Pada hemat penulis, jika mahu memperbodohkan penyokong Pas pun janganlah sampai ke tahap dungu sangat. Jika yang meminjam itu ialah kerajaan negeri, tentulah wang tersebut dalam akaun kerajaan negeri.

Semak sahajalah dengan Menteri Besar Selangor dan Pegawai Kewangan Negeri. Duit dalam akaun kerajaan bukan macam dalam akaun Guthrie yang mudah dimanipulasi. Setiap perbelanjaan dan pengeluaran ada prosedur dan pertanggungjawaban.

Sebab itu lebih mudah jadi pembangkang dari kerajaan. Kerana pembangkang hanya pandai menuduh tanpa perlu buktinya. Sekarang sudah menjadi kerajaan kenalah buktikan sebelum bercakap.

No comments:

Google