Google

Friday, April 11, 2008

UMNO Kedah Dan Pulau Pinang Desak Abdullah Undurkan Diri

Majoriti bahagian UMNO di Kedah dan Pulau Pinang mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri daripada persada kekuasaan negara dan UMNO.

Hasrat ini disampaikan oleh mereka kepada delegasi kepimpinan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam pertemuan tertutup di Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam pertemuan di Sungai Petani, 7 bahagian UMNO mendesak Abdullah meletakkan jawatan, 2 bahagian menyokong Abdullah terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri, 2 bahagian lagi berkecuali.

Di Pulau Pinang, 9 bahagian mendesak Abdullah mengundurkan diri, 1 bahagian – Tanjung - berkecuali dan 3 bahagian lagi – Kepala Batas (Bahagian Abdullah), Bukit Mertajam dan Nibong Tebal - menyokong Abdullah terus memimpin negara.

Sementara itu, seorang AJK UMNO Bahagian di Kedah yang menggunakan nama samaran AAH telah mengirimkan komen kepada blog ini pada jam 7.44 petang semalam mengenai pertemuan di Kedah seperti berikut:

Saya berada dalam dewan (perjumpaan di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah) dari mula hingga tamat. Apa yang dapat saya simpulkan ialah: UMNO Kedah tidak lagi mempunyaai keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah dan Mahdzir Khalid. Mereka inilah angkara kekalahan Kedah (dalam PRU12). Mereka (para pemimpin UMNO Kedah) rata-rata berpendapat Abdullah dan mantan Menteri Besar Kedah adalah “pengkhianat” paling besar di Malaysia.

Calon Tanpa Restu

Sementara itu, Utusan Malaysia 11 April 2008, telah memetik Najib sebagai berkata seperti berikut:

SUNGAI PETANI 10 April – UMNO mengenal pasti masalah pemilihan calon yang tidak mendapat restu ketua-ketua UMNO bahagian adalah antara punca calon Barisan Nasional (BN) dikhianati pada pilihan raya umum lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, maklum balas yang diterima Jawatankuasa Pengurusan parti dengan pemimpin bahagian menunjukkan ramai di antara mereka melahirkan rasa kecewa kerana tidak dibawa berunding semasa pemilihan calon dibuat.

“Antara perkara pokok yang disuarakan ialah supaya pada masa akan datang, dalam pemilihan calon-calon bertanding, maka proses rundingan dengan bahagian dilakukan dengan cara lebih menyeluruh lagi.

“Kita menerima pandangan ini dan saya akan sampaikan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti nanti,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti bersama lebih 150 pemimpin Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini hari ini.

Hadir pada majlis tertutup hampir tiga jam itu ialah kedua-dua Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mohd. Ali Rustam. Turut serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Bendahari parti, Datuk Mohd. Azim Zabidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

No comments:

Google