Google

Thursday, April 24, 2008

Ezam: Politik Baru dan Bad Samaritans

Baru-baru ini saya sempat hadir dalam satu acara diskusi bersama Sdr. Ezam Mohd. Noor, Pengerusi Gerak Malaysia yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR). Yang menarik perhatian saya ialah bicara Ezam mengenai “politik baru”.

Sudah ramai orang membicarakan tentang perkara-perkara baru dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Tetapi bagi saya Ezam agak istimewa. Beliau merupakan antara orang yang terawal mempopularkan “politik baru” - yang didefinisikan sebagai politik pelbagai kaum - melalui penglibatannya dalam Parti Keadilan Nasional (keADILan) ketika parti itu mula dilancarkan pada tahun 1999. Tetapi, tujuh tahun kemudian, setelah melalui onak dan duri dalam politik pembangkang, termasuk meringkuk dalam tahanan di Kamunting, beliau akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan semua jawatan dalam parti.

Sebagai seorang yang pernah mempelopori idea “politik baru”, dan sekarang berada di luar wadah yang diperjuangkan dahulu, agak menarik untuk melihat bagaimana Ezam melihat perkembangan politik semasa. Apakah jawapan beliau kepada persoalan samada PRU 12 merupakan manifestasi politik baru sepertimana yang digagaskan hampir sepuluh tahun yang lalu?

Jawapan Ezam ialah tidak. Beliau menghujjahkan bahawa sejak kebelakangan ini, politik Malaysia menjadi semakin bersifat perkauman. Perdebatan mengenai hak kebebasan beragama, isu tuntutan HINDRAF, perungkaian kontrak sosial, penolakan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan isu negara Islam - walaupun diolah menggunakan bahasa demokrasi - masih merupakan isu-isu kaum. Pola mengundi juga menunjukkan kewujudan dikotomi kaum. Sementara berlaku peralihan drastik undi bukan Melayu kepada parti-parti pembangkang, perkara yang sama tidak berlaku kepada undi Melayu. Justeru, bagi Ezam, politik baru rentas kaum sepertimana yang digagaskan pada tahun 1999 tidak berlaku dalam pilihanraya kali ini. Malah, tegas Ezam, pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang paling bersifat perkauman dalam sejarah pilihanraya Malaysia.

Saya fikir penegasan Ezam dalam hal ini wajar diteliti. Kemunculan politik baru rentas kaum dianggap oleh ramai orang sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Keputusan PRU 12 seolahnya memberikan “hukuman mati” kepada ideologi dan sistem politik berasaskan kaum di Malaysia. Politik bukan berasaskan kaum sudah pasti menjadi paksi kepada masa depan politik Malaysia. Tiada alternatif lain lagi.

Teringat saya kepada TINA dalam wacana globalisasi. There is no alternative. Mahu tidak mahu dunia ini harus melalui proses globalisasi yang ditandai oleh pasaran bebas dan sistem politik demokrasi liberal. Itulah satu bentuk ortodoksi yang diseru oleh kelompok neo-liberal di dunia ini. Walaupun tesis korelasi antara pasaran bebas, demokrasi liberal dan kemakmuran ekonomi disanggah di serata dunia - dengan fakta kuantitatif dan kualitatif - para pendokong faham neo-liberal, dan teman-teman neo-cons mereka di Bretton Woods Institutions dan Rumah Putih, galak mengajar kepada dunia bahawa pasaran bebas dan negara dengan kuasa minimal merupakan satu-satunya resipi kemakmuran. Mereka ini digelar “Bad Samaritans” oleh Ha-Joon Chang, seorang warga Korea dan ahli ekonomi pembangunan di Universiti Cambridge dalam bukunya Bad Samaritans: Rich Nations, Poor Policies and the Threat to the Developing World.

Adakah wujud “Bad Samaritans” ala Malaysia? Apakah politik baru rentas kaum - yang turut membawa bersamanya idea-idea demokrasi liberal, pertarungan bebas, perungkaian kontrak sosial berasaskan kaum, kebebasan beragama (atau kebebasan daripada agama?) dan lain-lain yang seumpamanya merupakan rentetan daripada ortodoksi neo-liberal yang problematis itu? Apakah idea-idea ini akan (atau telah) menjadi satu ortodoksi baru di Malaysia?

______________________________________________________________________

MARZUKI MOHAMAD ialah pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pandangan beliau mengenai isu-isu politik semasa boleh didapati di http://marzukimohamad.blogspot.com.

No comments:

Google