Google

Monday, April 14, 2008

Akibat sukar terima kekalahan, BN ganggu negeri Pakatan Rakyat

Image

Kita telah mempunyai seorang Menteri Besar di kalangan ulama' yang berupaya memimpin dan membangunkan sebuah negeri, iaitu Kelantan.

Intan Abdullah, HARAKAH

Pihak Umno-BN yang masih sukar menerima kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 lalu terus menerus melancarkan tekanan ke atas beberapa buah negeri di bawah teraju pemerintahan Pakatan Rakyat.

Mengakui hakikat bahawa beberapa isu sensitif yang menyentuh perbezaan fahaman perkauman dan agama merupakan agenda yang sedang dimainkan pihak Umno-BN, Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tidak merasakan ianya sebagai ancaman yang boleh melemahkan semangat beliau dalam meneruskan tanggungjawab.

"Pelbagai taktik melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat termasuk isu yang akan dan sedang digunakan bagi mengkucar-kacirkan keadaan pentadbiran pakatan Rakyat bahkan terdapat pengumuman pembatalan perjanjian program perlancongan oleh kerajaan pusat terhadap lima buah negeri ini," katanya dalam satu sesi ramah mesra bersama delegasi kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat di pejabat rasmi Menteri Besar baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun kerajaan Perak mengalami sedikit masalah di peringkat awal pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat namun ianya tidak menjejaskan kerjasama yang terjalin antara ketiga-tiga parti yang telah diberikan mandat oleh rakyat.

"Alhamdulillah selepas kejatuhan kerajaan BN, kita akan terus mengorak langkah dalam merangka beberapa projek pembangunan untuk membantu memajukan negeri terutamanya kebajikan rakyat Perak," ujarnya dalam ucapan aluan kepada delegasi muslimat yang hadir.

Dalam sesi soal jawab bersama Nizar, beberapa isu mengenai usaha membantu golongan wanita, orang kurang upaya serta para ibu tunggal menjadi fokus perbincangan.

"Dengan kepakaran yang dimiliki oleh barisan exco kerajaan negeri yang dipilih, kita yakin akan dapat mengusahakan program untuk membangunkan rakyat untuk kesenangan semua pihak.

"Dengan rendah hati, saya menerima penghargaan parti-parti dalam pakatan rakyat, namun saya tetap memerlukan bantuan serta sokongan daripada golongan wanita apatah lagi para petugas yang telah menyokong perjuangan selama ini," katanya.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan Perak turut melahirkan rasa terharu dengan kemenangan dan amanah yang diberikan Pakatan Rakyat kepada PAS.

"Kita sama sekali tidak menyangka akan kesepaduan dan kesepakatan yang terjalin antara ketiga-tiga parti pembangkang yang memenangi pilihan raya umum lalu membuahkan hasil di luar dugaan.

"Apatah lagi, PAS yang memenangi kerusi minoriti dalam kerajaan Pakatan rakyat telah diberi kepercayaan memimpin kerajaan Perak," ujarnya dalam sesi perbincangan tersebut.

Sementara itu, ahli Dewan Negara Senator Mumtaz Mat Nawi pula berharap agar Nizar dapat menjadi contoh sebagai Menteri Besar yang memiliki latar belakang profesional Islam.

"Kita telah mempunyai seorang Menteri Besar di kalangan ulama' yang berupaya memimpin dan membangunkan sebuah negeri, iaitu Kelantan.

"Dan kini kita diberikan peluang oleh Allah untuk membuktikan bahawa seorang profesional Islam juga berupaya untuk memimpin negeri dan rakyat di Perak ini, insha Allah," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah turut menyatakan harapan beliau agar Nizar mengambil azam daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahu mencontohi pemimpin Islam terbilang, Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai cabaran.

"Jika Lim Guan Eng mahu menjadi seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, kita (PAS) boleh menjadi lebih daripada itu," ujarnya.

Seramai 40 orang delegasi kepimpinan yang diketuai Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh beserta wakil muslimat negeri-negeri termasuk ahli dewan Negara, Senator Mumtaz Mat Nawi disambut Menteri Besar Perak, Ir Nizar Mohd Jamaluddin dalam suasana yang ringkas.

Dalam sesi kunjungan tersebut, mereka berpeluang membincangkan beberapa isu mengenai wanita serta isu-isu negeri selepas sebulan beliau dilantik sebagai Menter hampiri Besar.

Majlis yang memakan masa selama dua jam berakhir dengan sesi bergambar kenangan.


No comments:

Google