Google

Monday, April 14, 2008

Sokongan rakyat perlu untuk kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat - Ketua Muslimat

(Harakah) - Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh usaha memperkemaskini kerjasama kerajaan campuran yang telah wujud membabitkan parti-parti daripada BA dengan nama Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, berkata melihat pada keputusan PRU Ke-12 dan mandat yang diberi oleh rakyat serta mengambil semangat hasrat itu, kewujudan Pakatan Rakyat amat sesuai dan menggambarkan mesra rakyat.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan kesungguhan untuk membuat perubahan bagi mengembalikan negara pada suasana sejahtera dan adil.

Pakatan Rakyat adalah manifestasi daripada harapan rakyat yang mahu melihat kerjasama kerajaan campuran BA (PKR , PAS serta DAP), berjaya menerajui perubahan yang lebih baik untuk semua, tegasnya.

Menurut beliau, kesejahteraan negara mesti melibatkan semua tanpa mengira kaum dan pegangan agama.

"Inilah realiti yang mesti diinsafi oleh semua khususnya para pemimpin parti-parti terlibat di semua peringkat. Realiti yang memastikan bahawa agenda kepentingan dan kesejahteraan rakyat adalah yang utama," tegas beliau.

DMPP juga berharap rakyat memberi keyakinan dan kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat termasuk memberikan teguran dan nasihat dari semasa ke semasa.

Dalam satu lagi perkembangan, DMPP sedih dan kesal terhadap apa yang berlaku kepada pelajar genius, Sufiah Yusuf seperti yang didedahkan oleh media.

Menurut Nuridah, keadaan yang dilalui Sufiah sekarang amat jauh berbeza dengan keistimewaan beliau yang pintar dalam subjek matematik sejak kecil.

Kisah Sufiah wajar menjadi pengajaran kepada ibu bapa khususnya ibu bapa Muslim, bahawa kepintaran dalam suatu bidang khusus tanpa pembinaan akhlak mulia dan akidah yang mantap sebagai benteng tidak menjamin seseorang itu menjadi insan unggul dan membanggakan.

Katanya, keunggulan dan kecemerlangan seseorang dalam Islam tidak hanya terletak kepada kepintaran tetapi kepada kemulian akhlaknya.

Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran pada Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 yang bermaksud bahawa antara sifat orang-orang yang berjaya dan cemerlang adalah mereka yang khusuk dalam solatnya serta menjauhi daripada perbuatan mungkar, menjaga kemaluannya daripada terjebak dengan gejala seks haram - zina iaitu memelihara maruah diri.

Beliau berkata, kemuliaan akhlak itu perlu menjadi asas utama kepada ibu bapa dalam membangun potensi akal anak-anak agar menjadi insan seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.

DMPP berdoa dan berharap umat Islam khususnya mereka yang prihatin dan bersama-sama beliau di luar negara dapat membantunya kembali ke pangkal jalan.

No comments:

Google