Google

Monday, April 14, 2008

Ribuan sambut Anwar bebas berpolitik

(Malaysiakini) Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit.

anwar ibrahim vk lingam hearing pc 290108 talkingProgram yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Selepas muncul pada 9.15 malam, Anwar menyampaikan ceramah lebih satu jam sebelum polis mengeluarkan larangan.

Dalam ucapannya, Anwar berkata tunggu dua minggu sebelum beliau mengumumkan sama ada akan bertanding atau tidak selepas larangan selama lima tahun.

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar malam ini pada awalnya dijangka disertai 10,000 penyokongnya.

'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman semalam berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.

Parti itu, tambahnya, hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai majlis makan malam pemimpin PKR bersama rakyat.

Beliau berkata polis menerima surat mengenai majlis makan malam itu bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu pegawai khas kepada menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno - kini dipengerusikan oleh Abdul Khalid, selaku menteri besar baru negeri Selangor.

Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

"Sekiranya mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada media semalam.

No comments:

Google