Google

Monday, April 14, 2008

Jawatankuasa Penyelaras Kampung Baru urus peruntukan di negeri pembangkang

Utusan Online - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Kampung Baru untuk menguruskan wang peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi projek pembangunan melibatkan kampung-kampung baru di lima negeri diperintah oleh parti pembangkang.

Menterinya, Datuk Ong Ka Chuan berkata, jawatankuasa tersebut akan mengambil alih tugas pegawai pembangunan kerajaan negeri dalam urusan menerima dan menguruskan wang peruntukan pembangunan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat untuk projek pembangunan di kampung-kampung baru.

Beliau berkata, sebelum ini, wang peruntukan bagi kampung-kampung baru di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah disalurkan melalui kerajaan negeri semasa keempat-empat negeri tersebut ditakbir oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya, mekanisme penyaluran itu bagaimanapun terpaksa dihentikan selepas negeri berkenaan jatuh ke tangan pembangkang memandangkan sistem pemerintahan kini sudah berbeza.

“Kami mengambil keputusan menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Kampung Baru untuk menguruskan wang peruntukan Kerajaan Pusat di kelima-lima negeri bawah pentadbiran pembangkang iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah termasuk Kelantan.

“Mungkin ada pihak mempertikaikan bahawa keputusan diambil oleh kerajaan tidak demokratik tetapi ia bukan persoalan kerana kerajaan negeri di lima negeri terbabit dengan Kerajaan Pusat sudah berpisah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah kepada anak-anak ahli Persatuan Ng See Ching Soo yang cemerlang dalam peperiksaan 2007 di sini hari ini.

Menurut Ka Chuan, meskipun lima negeri berkenaan diperintah oleh pembangkang, Kerajaan Persekutuan tetap menyalurkan wang peruntukan bagi kampung-kampung baru kerana menyedari hakikat bahawa penduduk di situ memerlukan pembangunan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan berterusan membantu penduduk terbabit dengan menyalurkan wang peruntukan dalam jumlah yang sama seperti sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang melantik Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang meletak jawatan baru-baru ini untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa penyelaras tersebut.

Katanya, jawatankuasa penyelaras ini turut diwujudkan di kampung-kampung luar bandar di bawah kuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

No comments:

Google