Google

Monday, April 21, 2008

BPR kepada Suruhanjaya, sekadar 'gincu' untuk politik Abdullah

(Harakah) - Cadangan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah suruhanjaya bebas dianggap pelbagai pihak sekadar bersifat 'kosmetik' bagi mencantikkan wajah politik beliau yang semakin buruk berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum lalu.

Keputusan pilihan raya itu juga membuktikan bahawa segala idea, janji dan dasar yang pernah diuar-uarkan Abdullah pada empat tahun sudah tidak dapat diterima lagi malah dianggap sebagai retorik politik semata-mata khususnya yang membabitkan isu-isu rasuah.

Buktikan dengan pelaksanaan

Mengulas lanjut isu terbabit Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata badan itu tidak perlu diberi 'imej' baru jika pelaksanaannya masih berada ditakuk lama dan tidak mendatang sebarang impak maksima dalam kesungguhan kerajaan untuk memanteras gejala rasuah dalam negara khususnya yang melibatkan pemimpin politik atau tokoh yang berpengaruh.

Beliau menjelaskan contoh badan yang dikatakan bebas seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat bersikap dan bersifat menyelebelahi kerajaan dalam banyak hal dan mendiskriminasikan parti pembangkang terutama membabitkan pilihan raya.

"Kita tidak mahu BPR nanti dilihat bersikap seperti SPR yang diragui kewibawaannya walaupun ianya badan bebas, yang akhirnya mengundang kemarahan rakyat sehingga turun ke jalan raya menyatakan rasa tidak puas hati.

"Buktikan dengan pelaksanaan bukan sekadar berkata-kata ataupun mengubah wajah menjadi cantik tetapi sikap dan peribadi masih buruk," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai mahu kes-kes yang pernah menimbulkan keraguan rakyat seperti 18 kes rasuah berprofil tinggi yang pernah didedahkan oleh Dato' Seri Rais Yatim diambil tindakan segera sebagai langkah awal untuk membuktikan Abdullah serius mahu menangani masalah terbabit.

"Jika tidak kita akan lihat, cadangan ini sekadar untuk memulihkan imej Abdullah yang buruk di kalangan rakyat dan di mata dunia," katanya.

Tidak mendatangkan impak maksima

Sementara itu bagi Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar sangsi dengan cadangan Abdullah itu kerana banyak aspek penting yang perlu diubah di dalam BPR seperti bebas daripada pengaruh eksekutif dan tugas pendakwaan masih seperti sediakala menjadikan badan itu tidak bebas sepenuhnya.

Contoh ketara katanya ialah Abdullah masih lagi bertanggungjawab penuh ke atas BPR walaupun ianya dijadikan badan bebas termasuk mengemukakan laporan kepadanya setelah dimajukan kepada Parlimen.

Begitu juga dengan pendakwaan kes rasuah yang masih lagi berada di dalam bidang kuasa Peguam Negara yang dilihat tidak mendatang sebarang impak maksima ke atas usaha untuk memerangi rasuah.

"Ini umpama gincu baru nak 'mencantikkan' wajah politik Pak Lah. Pelaksanaan masih sama cuma diberi nafas baru sahaja.

"Dan cadangan ini merupakan 'nafas baru' bagi perasuah-perasuah negara yang akan lebih dilindungi daripada didakwa atau dikenakan sebarang tindakan," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Selain itu idea untuk menambahkan pegawai sejumlah 5,000 itu akan merugikan dana rakyat kerana tidak berperanan sebaiknya memandangkan kata Mahfuz secara sinis kes-kes yang dikendalikan oleh BPR khususnya membabitkan pemimpin politik dan tokoh terkenal akan ditutp begitu sahaja.

"Apa guna tambah pegawai apabila para pegawai tidak ada kes untuk didakwa dan tugas penyiasatan yang mereka lakukan selama ini menjadi sia-sia kerana tidak ada sebarang tindakan yang bakal diambil,"tambahnya.

Dalam pada itu Mahfuz juga mahu Abdullah sendiri memulihkan kredibiliti dan integiritinya terlebih dahulu kerana pernah dikaitkan dengan isu rasuah sebelum ini.

Antaranya yang membabitkan isu Oil For Food, ECM Libra yang melibatkan menantu beliau Khairy Jamaludin, pembelian rumah di Australia, pemberian Kapal Layar oleh saudagar terkemuka dan tender-tender kerajaan yang melibatkan syarikat anak beliau Kamaludin, kata Mahfuz.

"Bersihkan dulu imej dia sebelum mahu memperbetulkan orang lain barulah rakyat yakin dan akan meberi sokongan," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

No comments:

Google