Google

Monday, April 21, 2008

Terima Kasih, Tapi Tak Payahlah, Kata Rais

(Bernama) -- "Terima kasih, tapi tak payahlah," kata ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Rais Yatim bila ditanya tentang kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dilaporkan berkata beliau tidak yakin terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan perdana menteri, dan menyebut nama Rais, selain Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding jawatan itu.

Menteri Luar itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana mengeluarkan komen itu, tetapi beliau tidak berminat untuk menduduki jawatan tersebut.

"Di satu pihak saya berterima kasih kepada beliau (Mahathir)...di satu pihak lagi terima kasih sajalah...saya tidak boleh...maksud saya, saya tidak boleh melibatkan diri dalam cadangan seumpama itu...saya selesa dalam keadaan seperti sekarang...," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau selesa dengan komen seumpama itu, Rais berkata tidak perlu bagi beliau menyatakan sama ada beliau selesa atau tidak.

"Tun Dr Mahathir pernah menjadi pemimpin kita dan beliau telah banyak berjasa, dan Perdana Menteri kita (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sedang melakukan sebaiknya bagi membina negara.

"Oleh itu kita harus mengambil jalan tengah iaitu jangan timbulkan masalah," kata Rais yang melihat Najib sebagai calon terbaik untuk jawatan itu.

Rais Isnin lepas mengumumkan beliau tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan dalam pemilihan Umno Disember depan, tetapi akan memainkan peranan dalam menyatu dan mengukuhkan parti.

No comments:

Google