Google

Monday, April 21, 2008

"Ex-gratia kepada Tun Salleh Abas bersifat politik" Mahathir

(Oleh Wakil Agendadaily London) - MANCHESTER: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan krisis kehakiman 1988 menyifatkan keputusan kerajaan memberikan ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas hanya bersifat politik.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan atas alasan apa keputusan pemberian ex-gratia itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada satu majlis pertemuan dengan pelajar Malaysia di Manchester, England, beliau menolak tanggapan bahawa pemecatan hakim-hakim tersebut bercanggah dengan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kenapa bayaran pampasan ini perlu dibuat kerana keputusan (memecat hakim) dibuat mengikut undang-undang. Jika mereka boleh buktikan ia bercanggah dengan undang-undang, tolong buktikan kepada saya…sehingga kini mereka tidak dapat buktikan,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat ekoran krisis kehakiman pada tahun 1988.

Selain bayaran ex-gratia itu, Abdullah turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi meneliti dan membuat cadangan perlantikan hakim.

Mengulas mengenai penubuhan suruhanjaya itu, Dr. Mahathir berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak boleh dilaksanakan hanya dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya, menurut beliau, penubuhan itu melibatkan pindaan perlembagaan persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat.

Barisan Nasional kini hanya mempunyai 140 kerusi dan tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun Dr. Mahathir secara sinis berkata, pindaan tersebut mungkin boleh dibuat kerana beliau yakin pembangkang akan turut sama menyokong cadangan berkenaan.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga berkata, keputusan pilihan raya umum yang lalu membuktikan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan parti dan negara.

No comments:

Google